Monday 28 March 2016

Konsep Komunikasi


Komunikasi ialah pemindahan pemikiran dari minda seseorang kepada orang lain (Highet,1964). Komunikasi juga ialah interaksi sosial yang dilaksanakan melalui mesej-mesej. Mesej-mesej adalah dalam bentuk peristiwa berkod, simbol, peristiwa perwakilan atau tanda-tanda yang dihasilkan untuk tujuan memperoleh respons atau tindak balas (Gerbner, 1968). Komunikasi ialah proses menyebar maklumat, simbol, mesej-mesej. Suatu proses untuk membentuk pengalaman dan pengetahuan sedia ada. Adanya peristiwa-peristiwa pengalaman dan asosiasi yang akan menyebabkan reaksi dan respons daripada seseorang (Feneey, Christensen dan Moravcik,1983). Komunikasi melibatkan proses penghantaran maklumat di antara dua pihak iaitu pengirim dan penerima. Mesej merujuk kepada maklumat, fakta, konsep, kemahiran atau nilai.
Komunikasi merupakan proses yang melibatkan penghantaran maklumat (mesej) di antara penghantar dan penerima. Dalam konteks bilik darjah, penghantar maklumat terdiri daripada guru dan penerima merupakan pelajar. Mesej yang dihantar terdiri daripada maklumat, fakta, konsep, kemahiran atau nilai. Pelajar sebagai penerima akan menerima mesej yang dihantar dan respons mereka terhadap kefahaman mesej akan berupa soalan-soalan yang dikemukakan kepada guru. Komunikasi mencetus pengalaman baru kerana isi pengajaran guru merupakan mesej yang terkini dan baru.
Terdapat dua jenis komunikasi iaitu komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan. Komunikasi lisan melibatkan proses pemindahan idea dan ditutur menggunakan bahasa yang difahami. Manakala komunikasi bukan lisan ialah penyampaian idea yang melibatkan pergerakan anggota badan seperti menganggukkan kepala tanda setuju. Oleh itu, seseorang guru perlu menguasai kemahiran berkomunikasi agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan berkesan serta mencapai objektifnya.

No comments:

Post a Comment